18 JUL : Johor menuntut Kerajaan Persekutuan memberi keputusan yang segera dan jelas berkait status individu serta operasi Network School di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata isu tersebut di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa KDN.
“Kerajaan negeri menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan keputusan yang segera, jelas dan muktamad berhubung status individu terlibat serta operasi Network School,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Onn Hafiz, dalam bidang kuasa negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sudah mengambil tindakan penguatkuasaan.
“MBIP telah melaksanakan semakan terhadap pematuhan lesen perniagaan, penggunaan premis perniagaan serta pematuhan terhadap syarat-syarat papan iklan.
“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat beroperasi di dua premis, di mana satu premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala satu lagi premis didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki oleh seorang warganegara tempatan,” katanya.
Selain itu katanya, pihak syarikat juga didapati melanggar jenis perniagaan yang dibenarkan iaitu pejabat urusan dan menggunakannya sebagai ruang kelas serta promosi perniagaan yang tidak dikemukan permohonan secara terperinci.
Sehubungan itu, katanya MBIP mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan Notis Henti Niaga ke atas premis beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah dan Notis Lesen Iklan kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat serta tidak selaras dengan kelulusan diberikan.
“Kerajaan negeri menegaskan MBIP akan meneruskan siasatan terhadap semua aspek di bawah bidang kuasanya.
“Sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
