18 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan saluran komunikasi baharu berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi platform WhatsApp PMX AI, bagi membolehkan rakyat menyampaikan pandangan, kebimbangan dan cadangan secara terus kepada beliau.
Anwar berkata inisiatif itu diwujudkan bagi memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat, selain memastikan setiap pandangan dapat didengari dalam usaha membangunkan negara.
“Saya amat berharap bahawa kalian boleh kongsikan pandangan, kebimbangan dan aspirasi secara terus melalui avatar ini kerana saya yakin negara hanya akan bertambah baik sekiranya ia berpaksi pada suara dan kehendak rakyat.
“Saya mengajak semua untuk ikut serta dalam kempen ini dan mula mencipta wacana yang segar untuk negara dan rakyat menerusi pautan https://wa.me/60378850523,” katanya dalam hantaran di Facebook, haru ini.
Hantaran itu disertakan video berdurasi dua minit 32 saat yang memaparkan avatar digital Anwar hasil janaan teknologi AI.
Menurut beliau, teknologi AI membuka dimensi baharu dalam komunikasi apabila membolehkan suara rakyat didengari dan aspirasi mereka difahami tanpa dibatasi masa serta lokasi.
“Tidak seorang pemimpin mampu berada di mana-mana pada setiap masa. Itulah hakikatnya.
“AI membuka satu dimensi baharu. Suara rakyat didengari, aspirasi lebih difahami dan idea diteroka bersama merentasi masa serta sempadan. Inilah evolusi komunikasi negara,” katanya.
Anwar berkata, avatar berkenaan bukan sekadar representasi digital dirinya, sebaliknya ‘kembar digital’ yang diinspirasikan daripada nilai dan visi kepimpinannya untuk terus berinteraksi serta berkhidmat kepada rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa masa depan negara perlu dibina melalui ilmu, integriti, inovasi dan kerja keras, selain mengajak rakyat bersama-sama mencorakkan Malaysia MADANI.
