21 OKT : Barisan Nasional (BN) akhirnya menamatkan teka-teki apabila mengesahkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Perkara itu disampaikan sendiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita, hari ini.
“Saya juga ingin mengumumkan bahawa rundingan BN dengan PAS khususnya telah dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Melaka Bermunajat di Masjid Salmah Khamis, Durian Daun, Masjid Tanah, malam ini.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut memaklumkan pembahagian kerusi antara kedua-dua pihak juga sudah dimuktamadkan.
“BN akan bertanding di 21 kerusi dan mereka bersama rakan-rakan mereka akan bertanding tujuh kerusi,” katanya.
Ketika ditanya tentang logo yang akan digunakan rakan strategiknya pada PRN kali ini susulan pembatalan pendaftaran yang dihadapi Perikatan Nasional (PN) ketika ini, Ahmad Zahid berkata perkara itu diserahkan kepada pimpinan gabungan tersebut.
“Logo kita logo BN, mereka terserah kepada pimpinan mereka untuk memutuskan,” katanya.
Beliau menolak ketika diminta mengulas bilangan rundingan yang dilaksanakan sebelum akhirnya mencapai kata sepakat.
“Yang penting telah dimuktamadkan,” katanya ringkas.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mengumumkan BN akan mengumumkan senarai calon pada 24 Oktober ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.
