KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa kesemua baki empat orang anak kapal warganegara Malaysia yang berada atas kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah di wilayah Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Oktober 2025 lalu telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 9 pagi hari Isnin, 20 Julai 2026.
Hasil libat urus berterusan dengan pihak berkuasa Sharjah oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Jabatan Laut Malaysia, empat orang anak kapal warganegara Malaysia tersebut telah dibenarkan turun daripada kapal berkenaan pada 18 Julai 2026.
Sebelum ini, seramai empat orang anak kapal warganegara Malaysia yang turut berada di atas kapal tersebut telah pun pulang ke tanah air pada 10 April 2026.
Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai juga telah melakukan beberapa lawatan konsular kepada anak-anak kapal tersebut bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.
Pada masa yang sama, pihak Konsulat Jeneral turut berunding dengan pihak berkuasa Sharjah serta menyelaras usaha dengan Jabatan Laut Malaysia dan pemegang taruh yang berkaitan bagi membolehkan proses kepulangan anak-anak kapal tersebut berjalan secepat mungkin.
Kerajaan Malaysia turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan UAE di atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam menguruskan kepulangan anak-anak kapal tersebut ke Malaysia dengan selamat.
Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negeri sentiasa komited dalam usaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
*Foto : Facebook Jabatan Laut Malaysia