20 JUL : Menteri Luar yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia melepaskan jawatan Kabinet jika diarahkan Perdana Menteri.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan tiada pimpinan gabungan itu yang bertindak seperti didakwa termasuk memburukkan kerajaan.
“Kita tak ada memburuk-burukkan, tak sentuh peribadi. Dalam kempen, kita nak pastikan mesej kita sampai kepada semua pengundi.
“Terpulang kepada Perdana Menteri kerana beliau yang melantik menteri dan timbalan menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program di Pusat Daerah Mengundi (PDM), Taman Kelab Tuanku Mambau pada Ahad.
Terdahulu, Anwar mengingatkan calon yang memegang jawatan dalam pentadbiran agar tidak menyerang kerajaan ketika berkempen sebaliknya memberi tumpuan kepada isu negeri.
Tegas Anwar, mana-mana anggota pentadbiran yang berbuat demikian akan diminta berundur.
Dalam pada itu, Mohamad menasihatkan semua pihak agar tidak cepat melatah ketika musim berkempen.
“Saya pun tak kecil hati, tapi masing-masing jangan cepat sangat meloncat-loncat. Dalam pilihan raya ini biasalah, dulu pun begitu juga.
“Tak bermakna pula kita nak bermusuh secara peribadi…tidak. Kita nak supaya rakyat faham, supaya mereka memberikan sokongan kepada BN.
“Kita pujuklah mereka dan kita pastikan jangan termakan fitnah-fitnah lagi. Pada 2018 (PRU) dulu, kalahnya BN bukan kerana apa tetapi kerana fitnah melampau,” katanya.