PRN N9: Menteri jadi calon diingatkan jangan serang kerajaan
m20 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon yang memegang jawatan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan supaya tidak menyerang kerajaan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sebaliknya, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata tumpuan perlu diberi kepada isu di peringkat negeri.
Namun katanya, jika ada anggota pentadbiran yang melakukan perkara berkenaan akan diminta berundur.
Anwar berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu dalam perbincangan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bagi memastikan kempen pilihan raya tidak menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Persekutuan.
“Semalam saya hubungi Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Fadillah. Saya singgung tentang kempen pilihan raya dan sekarang ini di Negeri Sembilan.
“Kita tahu ada parti yang sama di peringkat Persekutuan tapi ada pertarungan di peringkat negeri…itu tidak mengapa kerana dalam sistem demokrasi, itu dibolehkan. Masing-masing boleh buat tafsiran.
“Tapi dalam perbincangan saya dengan Zahid dan Fadillah, kita ingatkan calon-calon terutama yang pegang jawatan menteri, timbalan menteri atau memegang mana-mana (jawatan dalam) agensi…dia boleh bertarung dalam isu-isu negeri.
“Kalau dia pegang jawatan di peringkat Persekutuan, kemudian dia tak boleh umpamanya serang…nak jadikan ini satu medan politik kerana dia kena jaga juga disiplin.
“Kalau dia pilih untuk buat begitu, dia harus undur daripada jawatan dia sebagai menteri, timbalan menteri atau pelbagai agensi.
“Tak kiralah mana-mana…di bawah Felda, Mara ataupun Risda…mana-mana agensi. Kita kena jaga supaya jangan langgar kerana kalau ada perlanggaran itu, saya akan minta mereka undur.”
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program MADANI Kita Bersama Komuniti Tambun pada Ahad.
Anwar berkata, semua pihak diminta mengawal kempen bagi memastikan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang bekerjasama kekal baik.
“Setakat ini, kita minta mereka kawal supaya hubungan kita di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri (seperti) Perak itu kekal baik supaya kerja boleh dijalankan dan biarlah kita kawal kalau ada pertarungan pun di peringkat negeri,” katanya.
PRN Negeri Sembilan membuka tirai secara rasmi pada Sabtu selepas proses penamaan bagi 103 calon selesai bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Barisan Nasional yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional akan bertembung dengan PH di 25 kerusi DUN.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA