21 JUL : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi membabitkan pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming bagi mengenal pasti sama ada berlaku akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana dakwaan yang dikongsikan Khairul Aming di platform Threads memberi gambaran wujud individu yang mempunyai akses kepada maklumat pelanggan serta inventori atau sistem dalaman syarikat telekomunikasi berkenaan tanpa kebenaran.
“Saya sudah bertemu wakil syarikat telekomunikasi itu dan mereka memaklumkan sedang menghubungi saudara Khairul Aming.
“Saya juga akan meminta MCMC mendapatkan laporan penuh mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, hari ini.
Terdahulu, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain sebelum didedahkan secara terbuka di media sosial.

Menerusi hantarannya, Khairul Aming meminta penjelasan daripada syarikat telekomunikasi terbabit susulan dakwaan maklumat bil telefon peribadinya dibocorkan oleh seorang pengguna media sosial.
Dakwaan itu timbul selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming termasuk mendakwa terdapat tunggakan sebanyak RM498 selain mengaitkannya dengan beberapa pembelian perkhidmatan digital tambahan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata penyebaran maklumat yang boleh mengenal pasti seseorang atau personally identifiable information (PII) tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi dan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana individu yang mengalami insiden serupa supaya membuat laporan kepada MCMC bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Sekiranya ada orang ramai yang mengalami perkara sama, saya minta mereka membuat laporan kepada MCMC supaya kita mempunyai rekod, maklumat dan bukti yang diperlukan untuk tindakan susulan,” katanya.