21 JUL : Kelajuan Internet dan keluasan liputan rangkaian bukan lagi satu-satunya ukuran kejayaan transformasi digital.
Sebaliknya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata tahap keyakinan rakyat terhadap keselamatan serta perlindungan ketika berada dalam ruang digital menjadi penanda aras baharu.
Atas keperluan itu, Malaysia terus memperkukuh usaha membangunkan ekosistem digital yang selamat, dipercayai dan berdaya tahan menerusi penganjuran International Regulatory Conference (IRC) 2026 oleh MCMC.
Persidangan bertemakan ‘Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust’ itu menghimpunkan lebih 500 peserta serta 40 penceramah dari Malaysia, ASEAN dan pelbagai negara lain bagi membincangkan isu utama yang membentuk landskap digital semasa.
MCMC dalam kenyataannya berkata, sebanyak 10 sesi dialog diadakan sepanjang persidangan dua hari itu dengan memberi tumpuan kepada cabaran seperti keselamatan dan penipuan dalam talian, kecerdasan buatan (AI), perlindungan data, keselamatan siber serta akauntabiliti platform digital.
“Kejayaan transformasi digital tidak hanya diukur melalui kelajuan internet atau liputan rangkaian, tetapi sejauh mana rakyat berasa selamat, dilindungi dan yakin menggunakan perkhidmatan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, hasil perbincangan sepanjang IRC 2026 dijangka menjadi input penting kepada pembangunan dasar dan kerangka kawal selia negara, termasuk Dasar Infrastruktur Digital yang sedang dibangunkan kerajaan.
Kata suruhanjaya itu, dasar berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan, kemampanan serta kesiapsiagaan infrastruktur digital negara bagi menghadapi cabaran yang semakin kompleks.
Dalam masa sama, Malaysia sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) akan terus memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa dalam menangani isu rentas sempadan seperti penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, ancaman keselamatan siber serta tadbir urus data.
MCMC berkata, menerusi IRC 2026, Malaysia turut berhasrat menggalakkan pendekatan kawal selia yang pragmatik, progresif dan berpaksikan kepentingan rakyat, selaras dengan keperluan membentuk persekitaran digital yang lebih selamat dan dipercayai.
Persidangan itu menjadi platform penting untuk menghimpunkan pandangan pelbagai pihak dalam memastikan perkembangan teknologi digital negara bergerak seiring dengan aspek keselamatan, perlindungan pengguna dan keyakinan awam.