22 JUL : Tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mendesak Washington mengambil tindakan terhadap Malaysia dilihat sebagai satu bentuk campur tangan asing yang mencabar kedaulatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata surat yang dihantar kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berhubung pendirian Malaysia terhadap Israel itu dibuat berdasarkan tuduhan yang tidak berasas.
Beliau berkata jabatannya menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan dasar luar negara yang berteraskan kedaulatan, undang-undang antarabangsa, nilai kemanusiaan serta pendirian konsisten Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang dizalimi.
“Malaysia secara tegas tidak pernah mengiktiraf entiti haram Israel, tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dan tidak ada sebarang keperluan untuk berbuat demikian.
“Negara kita mesti terus berdiri teguh dengan dasar luar yang bebas, berkecuali dan berprinsip – berkawan dengan semua negara yang berdaulat, namun kekal berani menyuarakan kebenaran apabila berlaku pencabulan terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkifli turut menegaskan rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin negara dan pejuang hak asasi sejagat. Kami bersatu hati dan bersetia untuk mempertahankan maruah, kebebasan, serta kedaulatan Malaysia daripada sebarang bentuk ancaman atau campur tangan kuasa asing.
Terdahulu, media melaporkan lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Anwar yang mahu mengusir rakyat Israel di Malaysia.
Ahli kongres daripada Parti Demokrat itu ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.
Berdasarkan surat yang dimuat naik Greg Landsman di akaun Facebook miliknya, kumpulan Ahli Kongres itu menyuarakan kebimbangan serius terhadap pendirian yang dinyatakan Anwar.