Kerajaan salur RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi
22 JUL : Kerajaan MADANI memperuntukkan RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi bagi menyokong usaha penyelidikan serta memperkasa pengembangan pemikiran tokoh ulama terkemuka dunia Islam, Allahyarham Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sumbangan itu diumumkan sebagai tanda komitmen kerajaan dalam memperkukuh penyelidikan mengenai sumbangan Al-Qaradawi yang disifatkan banyak mempengaruhi wacana pemikiran Islam kontemporari.
“Dalam mendukung pengembangan dan memperkukuh penyelidikan mengenai sumbangan Al-Qaradawi, saya umumkan sumbangan Kerajaan MADANI sebanyak RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
Anwar turut mengimbau penglibatan awal beliau bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang membuka ruang untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan Allahyarham Al-Qaradawi.
Menurutnya, tokoh itu bukan sekadar seorang sarjana Islam malah menjadi pencetus perubahan yang membawa semangat pembaharuan serta keterbukaan dalam menghadapi cabaran semasa.
“Saya menimba sedikit pengalaman yang boleh saya simpulkan bahawa sosok Al-Qaradawi sebagai pencetus perubahan atau ‘zeitgeist’, penggerak atau semangat zaman yang menzahirkan keterbukaan dalam pemikiran, pendamba pembaharuan dalam menghadapi cabaran kontemporari,” katanya.
Beliau berkata antara nasihat Al-Qaradawi yang masih kekal relevan ialah seruan supaya ABIM menjauhi aliran ekstrem dan terus berpegang kepada prinsip wasatiyah atau kesederhanaan.
“Sewaktu meningkatnya semangat kebangkitan Islam pada sekitar awal 80-an, Al-Qaradawi menghantar satu risalah kepada pimpinan ABIM yang menegaskan agar ABIM mengambil jarak daripada aliran keras dan kekalkan wasatiyah atau kesederhanaan.
“Nasihat ini bagi saya amat penting sewaktu meningkatnya semangat dan aliran pemikiran yang tidak terbuka menerima pandangan yang berbeza pada ketika itu,” katanya.
Anwar berkata, secara peribadi beliau amat terhutang budi kepada Allahyarham Al-Qaradawi, bukan sahaja dari sudut pemikiran, malah atas sokongan moral dan persahabatan yang terjalin berasaskan keikhlasan.
“Semoga ikhtiar seperti ini akan mendapat barakah, membawa manfaat dan mencerahkan umat,” katanya.
Allahyarham Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi yang meninggal dunia tahun 2022 pada usia 96 tahun dikenali sebagai antara tokoh ilmuwan Islam paling berpengaruh di dunia menerusi karya dan pandangannya yang menekankan pendekatan kesederhanaan, pembaharuan serta kesesuaian syariah dengan realiti masyarakat moden.
