22 JUL : Setiausaha dan bendahari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan selepas disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai RM5 juta.
Suspek lelaki dan wanita dalam lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 10 pagi tadi.
Laporan Astro Awani yang memetik sumber menyebut hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki menerima, memiliki, mengubah, memindah serta menggunakan wang yang dipercayai hasil aktiviti haram berkaitan penyelewengan dana pertubuhan bagi kepentingan peribadi.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan secara bersubahat antara 2021 hingga 2023.
Sementara Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad, mengesahkan penahanan berkenaan.
Menurut beliau, kedua-dua suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 29 Julai ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.