25 JUL : Venezuela memutuskan menarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dengan mendakwa badan itu mengamalkan layanan tidak adil terhadap negara membangun.
Menteri Luar, Felix Plasencia berkata keputusan berkenaan dimaklumkan secara rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas arahan Pemangku Presiden, Delcy Rodriguez.
“Venezuela berpandangan bahawa tindakan Mahkamah itu mencerminkan kecenderungan geografi yang jelas, dengan tugasnya tertumpu secara tidak seimbang kepada negara Afrika dan Amerika Latin sehingga menjejaskan kepentingan Selatan Global.
“Corak ini menunjukkan sistem keadilan antarabangsa yang bukan sahaja gagal dilaksanakan secara saksama, malah telah dijadikan alat untuk memperdalam ketidaksamaan antara rakyat serta mengabaikan hak mereka terhadap penentuan nasib sendiri dan kedaulatan,” tulis beliau di platform X.
Menurut Plasencia, keputusan itu bersifat muktamad serta tidak akan ditarik balik.
Langkah berkenaan dibuat ketika ICC meneruskan siasatan terhadap pentadbiran bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, berhubung dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.
Kerajaan di Caracas bagaimanapun menolak semua dakwaan itu.