Program MADANI Kita dekati rakyat
25 JUL : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi kolaborasi strategik Program MADANI Kita (PMK) bersempena Penang International Halal Expo 2026 (PIHEX 2026).
Inisiatif itu digerakkan melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bersama Penang Halal International (PHI), sekali gus menjadi kerjasama sulung antara kedua-dua pihak.
Program berlangsung di Politeknik Seberang Perai bermula 24 hingga 26 Julai dengan perasmiannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Diselaraskan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, PMK menghimpunkan pelbagai kementerian serta agensi Persekutuan di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan secara lebih cekap.
Penganjuran serentak PMK bersama PIHEX 2026 turut membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat serta usahawan memperoleh maklumat, khidmat nasihat selain manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan.
Sepanjang program, pengunjung boleh menikmati pelbagai kemudahan termasuk pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, reruai agensi kerajaan, khidmat komuniti, Pertandingan NADI E-Sukan MADANI Legend serta Wi-Fi percuma menerusi NADI On Wheels (NOW).
Menurut MCMC, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen berterusan suruhanjaya berkenaan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui jaringan kerjasama bersama pelbagai pihak.
Inisiatif sama turut menyokong pembangunan ekonomi setempat, memperluas keterangkuman digital serta memastikan manfaat agenda Malaysia MADANI dinikmati lebih ramai rakyat.
