28 JUL : Malaysia wajar menilai semula keberadaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini jika badan itu enggan bekerjasama dalam pengurusan pelarian.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UNHCR menjadi tarikan kumpulan itu ke Malaysia yang membolehkan mereka mendapat kad pelarian.
“Kalau mereka tidak mahu bekerjasama, sudah sampai masanya kita mempertimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara kita. Itu pandangan saya, supaya kita tidak terus terbeban.
“Ini menjadi satu magnet kepada pelarian untuk datang ke Malaysia kerana adanya pejabat UNHCR dan boleh memberikan kad dengan sewenang-wenangnya. Itu perlu kita urus dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan proses pengundian awal yang berlangsung di Pangkalan Udara Sendayan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia dan UNHCR perlu memeterai perjanjian jelas bersama UNHCR bagi menetapkan bidang kuasa serta tanggungjawab badan berkenaan.
Katanya prosedur sekarang tidak melibatkan Malaysia dan tiada saringan dibuat.
“Kita mesti ada perjanjian antarabangsa supaya ada ketetapan apa mereka boleh buat ataupun (apa) mereka tidak boleh buat.
“Tetapi nampaknya sekarang tidak ada apa-apa, tidak ada prosedur operasi standard (SOP).
“Mereka buat permohonan dalam talian ketika berada di Myanmar, kemudian datang ke sini dan terus mengambil kad. Ini bermakna saringan kita tidak ada. Ini yang perlu kita uruskan dengan baik,” katanya.