6 OGOS : Seramai 56.86 peratus lepasan sekolah kini memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata angka itu mencerminkan perubahan persepsi terhadap bidang itu sebagai pilihan utama untuk membina kerjaya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia membuktikan TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua di negara ini.
“Alhamdulillah, hari ini 56.86% lepasan sekolah telah memilih laluan TVET. Ini membuktikan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya semakin diyakini sebagai laluan utama untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Melalui TVET 2.0, fokus kita adalah untuk memastikan lebih ramai graduan mendapat pekerjaan bergaji premium serta melahirkan usahawan yang mampu mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain. Itulah ukuran sebenar kejayaan yang kita mahukan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan pertemuan bersama Ahli Exco Majlis TVET Negara bagi membincangkan hala tuju serta keutamaan dalam memperkasa ekosistem TVET negara.
Dalam pertemuan sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 Ahli Exco Majlis TVET Negara yang akan menerajui portfolio strategik masing-masing.
Beliau berkata, pelantikan itu membawa amanah besar untuk mencetuskan idea baharu selain memastikan agenda TVET negara terus diperkukuh.
“Insya-Allah, saya berharap barisan Ahli Exco yang dilantik akan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran, pengalaman dan jaringan yang dimiliki untuk memperkukuh ekosistem TVET negara.
“Saya yakin, dengan kerjasama semua pihak, kita mampu melahirkan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi yang menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.