6 OGOS : Mana-mana penjawat awam tidak seharusnya dihukum hanya kerana menghadiri program rasmi kerajaan ketika pilihan raya negeri (PRN) berlangsung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau memberi jaminan akan melindungi pegawai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berdepan tekanan hanya kerana mejalankan tugas.
“Saya tahu ada di kalangan di hadapan saya ini yang mungkin sudah dipanggil…berdepan dengan tekanan susulan pertembungan politik.
“Apa salahnya datang ke majlis anjuran kementerian di negeri yang kebetulan ada pilihan raya negeri? Apa salahnya? Jangan hukum pegawai ini!
“Jangan ambil tindakan kerana mereka yakin dengan kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah. Takkan begitu!” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga KKDW, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau akan terus mempertahankan setiap pegawai KKDW daripada sebarang bentuk tekanan selagi diberi amanah menerajui kementerian itu.
“Percayalah, selagi saya berada di sini memegang amanah sebagai Menteri KKDW, saya beri jaminan setiap pegawai kementerian saya akan saya lindungi.
“Saya lindungi kerana saya tidak mahu pegawai-pegawai saya ini terlibat di dalam politik. Menghadiri majlis tidak bererti mereka terlibat di dalam politik.
“Ini harus dibezakan oleh ketua yang di atas sana. Tak tahu siapa namanya, tetapi fahamilah perkara ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pegawai KKDW supaya terus menjalankan tanggungjawab secara profesional mengikut peraturan serta saluran perundangan.
“Saya profesional dalam perkara ini. Saya mahu saudara dan saudari teruskanlah berkhidmat dan laksanakan tanggungjawab yang diberikan mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul.
“Selebihnya, serahkan kepada saya. Saya tahu apa yang perlu dilakukan, insya-ALLAH,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meningatkan bahawa garis pemisah antara profesionalisme penjawat awam dengan politik kepartian mesti kekal jelas demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan.
“Penjawat awam perlu peka terhadap konteks politik yang membentuk dasar kerajaan, tetapi tidak boleh dan tidak perlu terheret ke dalam politik kepartian.
“Penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan politik, namun tidak sesekali menjadi alat atau dipengaruhi politik. Garis pemisah itu mesti jelas,” katanya.