Beza parti tidak jejas kerjasama negeri-Persekutuan demi rakyat
Perbezaan parti yang mentadbir kerajaan Persekutuan dan negeri tidak boleh menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sistem pentadbiran negara memerlukan hubungan erat antara semua pihak bagi memastikan manfaat dapat disalurkan kepada rakyat tanpa mengira perbezaan politik.
“Kita tidak boleh menghalang pandangan agak berbeza, parti yang berbeza tapi ia tidak boleh menyekat persahabatan, persaudaraan dan kerjasama yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Sebab itu sambutan di Melaka ini dan kerjasama erat daripada Kerajaan Negeri Melaka dan Bandaraya Melaka (MBMB), saya ucap setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.
“Mudah-mudahan hasrat kita untuk menentukan landskap itu lestari, memenuhi konsep Malaysia MADANI ini, akan dapat diterjemahkan dalam tindakan dan hasilnya dalam masa yang singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Landskap Negara di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam ini.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pembangunan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada projek mega, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada kemudahan harian yang digunakan majoriti rakyat.
Beliau berkata, lokasi tumpuan awam termasuk gerai makan perlu diberi perhatian menerusi penyediaan peruntukan khusus bagi meningkatkan aspek kebersihan dan persekitarannya.
“Ya, kita memang terkenal dengan mercu tanda hebat-hebat, gagah-gagah, tetapi jangan lupa, majoriti rakyat itu makannya bukan di restoran lima bintang, majoriti rakyat itu 80 peratus kalau di Kuala Lumpur, makannya di gerai, di warung, di restoran-restoran kecil.
“Berapa banyak tumpuan kita dalam soal pembangunan mengindahkan gerai dan membersihkannya…sebab itu saya kata dalam perancangan, gagal kalau kita tidak imbangi,” katanya.
