Pemantauan CCTV di KLIA libat kawasan ‘titik buta’ ditambah baik
12 OGOS : Sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan kawasan ‘titik buta’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan ditambah baik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu penting bagi memperkukuh keupayaan agensi penguatkuasaan memantau serta mengesan sebarang ancaman keselamatan di pintu masuk dan keluar negara.
Menurutnya, setakat ini terdapat kira-kira 5,000 kamera CCTV kini tersedia di kedua-dua terminal KLIA.
“Kalau ada kawasan ‘titik buta’ atau blind spot, kita akan menambah baik.
“Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kini dalam fasa kedua operasinya membabitkan beberapa bentuk perolehan, termasuk CCTV.
“Itu cuma peralatan dan infrastruktur, tetapi orang yang mengawasi atau memantau infrastruktur berkenaan sendiri harus kita melihat balik dari segi standard latihan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarah keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29 di Kota Bharu, hari ini yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Sabah pada Khamis lalu.
Isu keselamatan di pintu KLIA menjadi sorotan susulan laporan juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas disyaki menyeludup 25 kilogram dadah.
Menyentuh soal perkara itu, Saifuddin Nasution berkata isu berkenaan perlu dilihat lebih menyeluruh memandangkan ia bukan sekadar menyentuh aspek keselamatan lapangan terbang, malah menjejaskan imej Malaysia.
“Negara kita dari sudut ketibaan pelancong adalah sangat cemerlang, malah mengatasi Thailand.
“Ia membabitkan pergerakan masuk dan keluar. Pergerakan keluar ini kejadian yang terlepas, manakala pergerakan masuk adalah bawah kawalan kita.
“Bagaimanapun, ini masanya kita menyelaraskan koordinasi supaya tidak timbul isu bolos bahan terlarang,” katanya.