11 OGOS : Kerajaan menegaskan ada pihak yang cuba memutarbelitkan fakta berkait kerugian ditanggung Lembaga Tabung Haji (TH) yang hampir RM13 bilion sebelum ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata mereka mendakwa kerugian TH itu susulan turun naik pasaran saham tanpa ada salah laku.
Namun beliau menegaskan kerajaan terpaksa menanggung kos penyelamatan sebanyak RM10.2 bilion dan harga yang terpaksa dibayar ini ditanggung semua pendeposit, pembayar cukai serta seluruh rakyat Malaysia.
“Ada pihak yang cuba memutar belitkan fakta dengan dakwaan tidak berlaku salah laku. Kerugian TH hanyalah akibat naik turun biasa pasaran saham. Atau cuba mempertikaikan langkah penyelamatan TH.
“Kelemahan tadbir urus membiarkan kerugian berlarutan, campur tangan politik menghalang tindakan pembetulan, creative accounting mengaburi masalah sebenar kedudukan kewangan TH dan akhirnya kerajaan dan rakyat terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sidang khas di Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH, hari ini.
Amir Hamzah menegaskan penyakit sebenar yang menyebabkan kerugian itu adalah salah laku kewangan dan pelaburan.
“RCI mendapati wujud proses pelaburan yang tidak teratur. Ini punca kerugian hampri RM13 bilion akibat keputusan pelaburan bermasalah sebelum 2018. Ini bukan sepenuhnya kerana penyata akaun.
“Yang menjadi penyakit adalah salah laku kewangan dan pelaburan. Kerugian ini tidak berlaku tiba-tiba dalam penyata akaun sebaliknya keputusan pelaburan kepimpinan terdahulu.
“Perakaunan umpama termometer.ia hanya tunjuk anda demam. Sembunyikan termometer tidak menyembuhkan demam anda. Yang mesti dirawat ialah penyakitnya. Pelaburan yang telah hilang nilai, risiko yang tidak terkawal dan proses membuat keputusan yang lemah,” katanya.