19 OGOS : Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan kononnya kerajaan memberikan kewarganegaraan secara borong kepada warga asing, termasuk dakwaan 1.2 juta rakyat China masih berada di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dakwaan berkenaan sudah beberapa kali dinafikan berdasarkan fakta dan data rasmi, namun masih ada pihak sengaja mengitar semula kandungan lama untuk mengelirukan rakyat.
“Dakwaan kononnya KDN ‘memberikan kewarganegaraan secara borong’ kepada warga asing atau dakwaan 1.2 juta rakyat China tidak keluar dari Malaysia adalah tidak benar.
“Perkara ini sudah dijelaskan secara rasmi dan fakta mengenainya boleh dirujuk melalui kenyataan saya sendiri serta laporan media.
“Saya telah menafikan dakwaan ini berkali-kali sebelum ini. Malah, sendiri telah memberikan penjelasan berdasarkan fakta dan data rasmi.
“Namun, masih ada pihak yang sengaja mengitar semula video, poster dan naratif yang telah diperbetulkan semata-mata untuk mengelirukan rakyat serta meniup sentimen perkauman dan kebencian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, penyebaran fitnah bukan sahaja mencemarkan nama individu atau institusi, malah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Katanya, keadaan itu juga berisiko mencetuskan kebencian antara kaum, mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan keselamatan negara.
“Penyebaran fitnah seperti ini bukan sekadar mencemarkan nama individu atau institusi. Lebih membimbangkan, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, mencetuskan kebencian antara kaum, mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan keselamatan negara.
“Saya mengingatkan semua pihak agar menghentikan penyebaran fitnah dan tidak memperalatkan isu-isu sensitif demi kepentingan politik atau meraih perhatian di media sosial,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya menyemak kesahihan maklumat melalui sumber rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Jadilah pengguna media sosial yang bertanggungjawab.
“Fakta tetap fakta. Data tetap data. Jangan biarkan fitnah mengatasi kebenaran,” tegasnya.