17 NOV : Gara-gara pantun, perang mulut tercetus di Dewan Rakyat antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang merupakan pembahas terakhir daripada 28 Ahli Parlimen memaklumkan beliau tidak bercadang mengulas panjang lebar mengenai kementerian itu kerana pelbagai isu sudah dibangkitkan wakil rakyat lain.
Sebaliknya, beliau memilih untuk menyampaikan pantun yang antara lain menyentuh kepentingan menjaga adab ketika berbahas, selain menyindir kekalahan pihak tertentu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya tidak mahu berbahas panjang, sebab ramai kawan-kawan sudah sebut. Saya cuma nak berpantun sahaja.
“Hulu Langat jangan terburu-buru untuk membuat komen, sebab nanti jadi harimau luka. Harimau luka sebab kalah di Melaka.
“Maka pantunnya berbunyi begini: Kalau tuan pergi memancing, jangan lupa bawa sampan. Walau kita hidup berasing, jangan lupa adab dan sopan.
“Kita mesti menjaga adab dan sopan. Berwaspada rakyat Malaysia, kita kena jaga adab dan sopan. Kita tak mahu negara ini seolah-olah tidak ada kapten. Kita nak negara ini ada hala tuju,” katanya.
Pantun itu segera mengundang reaksi Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang membalas dengan membangkitkan isu salah laku dan penyelewengan, sambil memberi amaran mengenai kesannya terhadap negara jika individu terbabit terus diberikan sokongan.
“Iyalah, adab dan juga sopan memang kita perlu. Tapi negara kita ini menuju kehancuran kalau kita biarkan dan kita menyokong orang yang curi, orang yang rompak, orang yang sakau,” katanya.
Shahidan kemudian mempertikaikan tindakan mengaitkan dakwaan penyelewengan dengan satu pihak sahaja, malah mengingatkan beliau mempunyai pengalaman menyaksikan pelbagai situasi sepanjang berada di Dewan Rakyat.
“Sekarang, inilah di antara kenyataan kenyataan yang boleh mengharu-birukan.
“Kalau kita mahu mengungkit, ungkit 30 hari pun tak habis kita nak ungkit. Cuma kita hanya bagi perhatian kepada kenyataan Perdana Menteri untuk tangkap siapa yang sakau.
“Jangan sebut sakau hanya sebelah pihak. Banyak pihak terbabit dengan sakau,” katanya.
Mohd Sany kemudian mencabar Shahidan supaya membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai bukti berhubung dakwaan salah laku dalam kalangan pihak kerajaan.
“Kalau ada bukti Arau, mari kita sama sama buat laporan polis dan SPRM. Saya sedia bersama Arau untuk buat laporan.
“Janganlah kamu cenderung dengan pemimpin yang zalim, kerana kamu akan disambar oleh api neraka,” katanya.
Bagaimanapun, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) turut masuk campur dengan mendakwa laporan polis pernah dibuat sebelum ini, namun tiada tindakan susulan diambil.
Shahidan selepas itu cuba meredakan keadaan dengan menyatakan beliau tidak mahu pertikaman lidah berkenaan menyebabkan dirinya kehilangan pahala, sebelum memohon maaf dan mengakhiri ucapannya.
“Bagi amanah, pecah amanah, bila bertengkar dia nak berlebih-lebih. Saya tak mahu hilang pahala saya. Saya minta maaf. Terima kasih,” katanya.