22 OGOS : Malaysia bersama 11 negara lain mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas pangkalan tentera Abu al-Duhur di barat laut Syria.
Kenyataan dikeluarkan secara bersama oleh Menteri Luar 12 negara itu menyifatkan insiden itu sebagai tindakan yang mencabul kedaulatan dan integriti wilayah negara itu.
Ia ditandatangani Menteri Luar Malaysia, Türkiye, Algeria, Indonesia, Jordan, Lubnan, Mauritania, Pakistan, Palestin, Qatar, Arab Saudi dan Somalia.
Menurut kenyataan itu, serangan tersebut merupakan peningkatan ketara selain pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan, integriti wilayah serta kesatuan politik Republik Arab Syria.
Menteri luar berkenaan turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap tindakan berterusan menyasarkan dan memusnahkan wilayah serta infrastruktur Syria, yang disifatkan berisiko menjejaskan usaha negara itu memulihkan keselamatan, membina semula institusi nasional dan menangani kesan kemanusiaan akibat konflik berpanjangan.
Menurut kenyataan itu, tindakan berterusan Israel melanggar kedaulatan dan integriti wilayah Syria serta berisiko meningkatkan ketegangan, menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau selain menghakis penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sehubungan itu, mereka menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas dan berprinsip terhadap tindakan agresif berterusan ke atas Syria serta mengambil langkah konkrit selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB bagi menamatkan pelanggaran berkenaan.
Mereka turut menuntut pematuhan sepenuhnya terhadap Perjanjian Pelepasan 1974 serta pengunduran tentera Israel dari kawasan diduduki bagi mengelakkan peningkatan konflik dan melindungi keamanan serta kestabilan serantau.
Menteri luar terbabit turut menegaskan kepentingan menghormati kedaulatan, kemerdekaan, integriti wilayah dan kesatuan politik Syria serta menolak sebarang usaha untuk menjejaskan prinsip berkenaan.