22 OGOS : Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (DK) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa gelaran Dato Laila Utama, hari ini.
Darjah itu merupakan darjah kebesaran tertinggi Brunei kepada pemimpin negara asing.
Istiadat pengurniaan berkenaan berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman sempena lawatan rasmi dua hari Anwar ke negara berkenaan.
Turut hadir Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Lawatan rasmi Anwar dan delegasi negara ke Brunei bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei.
Selepas istiadat berkenaan, Anwar mengadakan pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah bagi membincangkan beberapa isu berkepentingan bersama.
Antara perkara dibincangkan ialah isu jerebu rentas sempadan, persempadanan darat dan laut, sektor tenaga serta kemudahan laluan bagi penduduk Brunei ke Sarawak dan Sabah.
Menurut Anwar, pertemuan itu memberi ruang untuk beliau dan Sultan Brunei bertukar pandangan secara terbuka terkait pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama, berteraskan hubungan akrab, kepercayaan serta persahabatan istimewa yang sekian lama terjalin antara Malaysia dengan Brunei.
Kemudiannya, kedua-dua pemimpin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) berkaitan pengurusan bencana sebagai langkah memperkukuh kerjasama Malaysia-Brunei dalam aspek keselamatan dan bantuan kecemasan.
