24 OGOS : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah selamat memeluk Islam bersama isteri, Datin Seri Asiah Udin dan anak bongsunya pada Ahad.
Ruddy berkongsi rasa gembira terhadap hari bersejarah itu.
“Hari ini bersejarah buat saya, isteri dan anak. Kami selamat mengucap dua kalimah syahadah dipimpin Mufti Sabah serta disaksikan pelbagai pihak dan tetamu yang hadir.
“Bagi saya, ini semua hidayah yang sampai. Apabila hidayah itu tiba, perasaan saya amat gembira sekali sewaktu mengucap dua kalimah syahadah tadi,” katanya.
Acara ringkas itu berlangsung di kediaman Ruddy di Kampung Salimpodon Laut Pitas, Kudat.
Ruddy yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata sekitar 10 tahun lalu, mereka mula mencari pegangan hidup dan agama.
“Apabila memilih memeluk Islam, pengalaman hidup itulah yang saya kejar. Apa sahaja yang ada di dunia ini hanya bersifat sementara. Yang kekal adalah amal ibadat kita.
“Kini setelah berada dalam Islam, saya mahu beramal ibadat untuk bekalan akhirat nanti. Kehidupan dunia sudah cukup bagi saya,” katanya.
Dalam pada itu, Ruddy merancang untuk menunaikan umrah bersama keluarganya pada tahun depan.
Selain itu, mereka juga mahu mempelajari dan mendalami agama melalui imam dan ustaz.
Berita gembira itu turut mendapat reaksi daripada pendakwah terkenal, Ustaz Abdul Somad yang tidak ketinggalan mengucapkan tahniah selain mendoakan agar beliau istiqamah dan dijaga Allah SWT daripada fitnah akhir zaman.
