24 OGOS : Kementerian Luar Negeri memantau rapat situasi keselamatan di wilayah sempadan selatan Thailand susulan beberapa insiden termasuk siri letupan bom dilaporkan berlaku pada malam, 22 Ogos lalu.
Dalam satu kenyataan, kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata insiden terbabit berlaku di Yala, Pattani serta Narathiwat dengan pasukan keselamatan tempatan meningkatkan kawalan di kawasan terjejas.
Langkah keselamatan turut dipertingkat termasuk pelaksanaan perintah berkurung sementara di beberapa kawasan.
Setakat ini, tiada laporan mengenai mana-mana warganegara Malaysia terjejas akibat insiden berkenaan.
Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengikuti perkembangan situasi, selain memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terbabit.
Wisma Putra turut menasihatkan warganegara Malaysia yang menetap, melakukan perjalanan atau berhasrat keluar masuk wilayah sempadan selatan Thailand supaya meningkatkan kewaspadaan.
Mereka juga diminta mematuhi semua nasihat keselamatan, perintah berkurung serta arahan pihak berkuasa tempatan.
Bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular ketika kecemasan, warganegara Malaysia digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan menerusi Portal e-Konsular Wisma Putra
Bagi bantuan konsular segera, warganegara Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menerusi talian +66 2 340 5720 atau talian pegawai bertugas +66 87 028 4659.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pula boleh dihubungi menerusi talian kecemasan +66 74 316 274 atau +66 81 990 1930.
Wisma Putra berkata pemantauan terhadap perkembangan situasi akan diteruskan, dengan maklumat terkini disalurkan sekiranya diperlukan.
Sebelum ini, media melaporkan seluruh wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung susulan siri insiden keganasan termasuk serangan pembakaran dan letupan.
Yala merupakan wilayah paling teruk terjejas dengan 14 daripada keseluruhan 32 insiden dilaporkan berlaku di kawasan itu.