26 OGOS : Seramai 17 rakyat Malaysia antara 384 pelancong dilaporkan hilang selepas banjir melanda beberapa kawasan di Nepal.
Lembaga Pelancongan Nepal dalam kenyataan berkata rekod awal daripada agensi pelancongan mengenal pasti 291 warga asing serta 93 warga Nepal sebagai hilang dari kawasan terjejas.
“Maklumat itu sedang disahkan dan disemak silang dengan kerjasama agensi pelancongan, pemandu pelancong, pihak berkuasa tempatan serta agensi keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, agensi itu memaklumkan, lebih 100 warga India, 12 warga Britain, empat warga Afrika Selatan, tiga warga Amerika Syarikat (AS), seorang warga Australia serta seorang warga Belanda turut dilaporkan hilang.
Kewarganegaraan 111 lagi individu masih belum dapat disahkan.
Terdahulu, Kathmandu Post melaporkan banjir besar akibat limpahan Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa, kawasan pergunungan Nepal, menyebabkan kerosakan besar terhadap kediaman serta infrastruktur.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap tinggi kepada penduduk di kawasan hilir susulan kejadian itu.