27 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa berkaitan segera menyelaras usaha bantuan susulan bencana banjir besar melanda Nepal serta beberapa kawasan di India.
Beliau berkata semua agensi berkaitan perlu menilai keadaan semasa serta berhubung dengan kedutaan Malaysia di kedua-dua negara bagi mempercepatkan bantuan kepada mereka yang terjejas.
“Saya sudah meminta semua agensi, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar, supaya segera menilai keadaan serta menghubungi kedutaan kita di India dan Nepal bagi mempercepatkan usaha membantu mereka yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Arahan itu susulan laporan Wisma Putra seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal masih belum dapat dihubungi sejak banjir melanda, semalam.
Banjir itu dipercayai tercetus selepas sebahagian glasier di Himalaya runtuh menyebabkan ais, batu serta lumpur mengalir deras.
Bencana itu setakat ini silaporkan meragut lebih 150 nyawa, manakala ratusan penduduk tempatan serta pelancong masih belum diketahui nasib mereka.
Beberapa kampung, jambatan, jalan raya serta projek tenaga turut dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menyumbang kepakaran serta keupayaan dalam misi kemanusiaan di Nepal susulan bencana berkenaan.
“Antara perkara yang boleh disumbangkan oleh pihak ATM adalah dalam soal misi-misi kemanusiaan.
“Jika ada keputusan daripada pihak kerajaan dan jika ia membabitkan ATM, kita bersedia untuk menyumbang kepakaran dan juga keupayaan kita,” katanya.