29 OGOS : Kerajaan akan mengadakan sesi pertemuan, esok bersama keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan akan memberikan taklimat berkait perkembangan terkini mengenai usaha mencari dan mengesan mangsa yang masih hilang.
“Banyak juga yang dulu dikategorikan hilang tetapi sudah dapat dihubungi. Pihak negara China turut memaklumkan ada beberapa orang di sebelah sana dapat dihubungi namun belum dipastikan kerakyatan mana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Kasih di Taman Kelab Tuanku, Mamba, hari ini.
Menurutnya, sesi itu akan dikendalikan Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata pihak Wisma Putra turut bersedia membantu menguruskan perjalanan keluarga terlibat ke Nepal sekiranya diperlukan.
Namun katanya, akses ke kawasan bencana ketika ini sukar susulan masalah laluan yang terjejas termasuk jambatan terputus.
Selain itu, beliau berkata, Kedutaan Malaysia di Kathmandu juga menerima tambahan petugas bagi membantu menguruskan keperluan rakyat Malaysia serta keluarga mereka yang masih belum dapat dikesan.
Katanya, Wisma Putra turut berhubung rapat dengan Kementerian Luar Nepal serta agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini.
Mohamad memaklumkan bilik operasi Kementerian Luar beroperasi 24 jam bagi memantau perkembangan rakyat Malaysia terjejas dalam bencana itu.