30 OGOS : Usaha pendigitalan sektor kesihatan awam yang pada asalnya dirancang sehingga 2045 kini dijangka dapat dipercepatkan ke tahun depan susulan tambahan peruntukan RM350 juta oleh kerajaan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan tambahan itu menjadikan keseluruhan peruntukan bagi mempercepat agenda berkenaan kepada RM1 bilion, berbanding RM650 juta sebelum ini.
Menurut MCMC, suntikan dana itu akan memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) termasuk peluasan ketersambungan Internet serta pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).
“Langkah ini penting dalam merealisasikan aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod’, sekali gus membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam,” menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026, petang tadi.
Suruhanjaya itu turut berkata pendigitalan perkhidmatan kesihatan berupaya memudahkan urusan rawatan, selain mengurangkan tempoh menunggu serta kos tidak langsung, terutama bagi golongan B40 dan M40.
Kenyataan itu turut menyebut, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital awam.
Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan dana bagi menyediakan ketersambungan Internet serta melaksanakan sistem EMR di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh, saling berhubung serta bersedia menghadapi keperluan masa depan.
