2 SEPT : Seorang bekas menteri direman lima hari bagi membantu siasatan berkaitan isu pelaburan pajakan hotel Lembaga Tabung Haji (TH) di Arab Saudi.
Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan SPRM untuk menahan suspek sehingga 6 September ini.
Beliau dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Siasatan di bawah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Bekas menteri berusia 60-an itu tiba di mahkamah kira-kira 10.25 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga dan tangan bergari.
Beliau ditahan kira-kira 4.30 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberikan keterangan.
Siasatan dipercayai berkaitan pelaburan pajakan hotel di Makkah dan Madinah yang merupakan antara isu pelaburan bermasalah dibangkitkan dalam laporan RCI TH.
Sebelum ini, bekas Pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ditahan bagi membantu siasatan.
SPRM turut menahan tujuh individu lain berkaitan siasatan sama, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.
Laporan RCI setebal 211 halaman itu didedahkan kepada umum selepas Jemaah Menteri bersetuju menyahklasifikasikan dokumen itu susulan menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH.
Laporan itu mengandungi 25 syor penambahbaikan, manakala 75 peratus daripadanya sudah dilaksanakan oleh pengurusan TH.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan tahap kerugian hampir RM13 bilion iaitu kerugian RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018 dan rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH sendiri.
Laporan RCI mendapati 14 pelaburan bermasalah dan proses kelulusan mencurigakan, termasuk insiden penyembunyian maklumat serta manipulasi laporan kesesuaian pelaburan.
Tujuh daripada 14 pelaburan tersebut telah rugi 100% nilai pelaburan, termasuk Al-Rawda (RM1.8 bilion), Putrajaya Perdana (RM193 juta) dan Trurich Resources (RM364 juta).