2 SEPT : Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama ‘Madu atau Racun’ yang mencetuskan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya amat kesal dengan tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan dalam drama berkenaan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama ‘Madu atau Racun’ yang telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
“Kami amat kesal atas tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
“Penerapan unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara.,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkifli menegaskan, prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama.
“Manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) serta peruntukan undang-undang sedia ada demi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama.
Dalam pada itu, beliau berkata JPM Hal Ehwal Agama menyeru semua penggiat seni, penerbit, dan stesen penyiaran agar sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi yang ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.
“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat.
“Kepada seluruh umat Islam, marilah kita bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan,” katanya.
Drama Madu atau Racun lakonan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha mencetuskan kontroversi susulan beberapa adegan yang mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Susulan itu, orang ramai menggesa drama berkenaan ditarik balik kerana didakwa tidak selari dengan norma budaya serta nilai agama masyarakat di negara ini.