3 SEPT : Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Fadzmel Fadzil disaran menyemak semula fakta berhubung isu peruntukan serta pembayaran kepada kontraktor bagi projek jalan luar bandar melibatkan kementerian itu.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung perkara itu dibuat berdasarkan fakta dan tidak dikeluarkan secara semborono.
“Elok saudara Fadzmel semak semula fakta. Saya yakin kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan tidak dibuat secara semborono.
“Saya kenal Tan Sri KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican) sebagai penjawat awam kanan yang teliti dan cekap. Dalam urusan kewangan negara, sudah tentu beliau lebih arif.
“Janganlah serang penjawat awam dengan cara begini. Gunalah saluran yang betul untuk berbincang dengan MoF, bukan bermula dengan membuat bising di luar,” katanya, lapor Astro AWANI, hari ini.
Semalam, Johan menjelaskan tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar seperti didakwa, sebaliknya kekangan pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada lebihan komitmen berbanding peruntukan semasa.
Jelasnya, peruntukan jalan luar bandar KKDW sudah disalurkan sepenuhnya, namun kementerian itu sebelum ini membuat komitmen serta perbelanjaan melebihi jumlah peruntukan tahunan diluluskan.
Namun, Fadzmel menafikan perkara itu dengan menegaskan KKDW tidak boleh berbelanja melebihi peruntukan diluluskan berdasarkan Tatacara Pengurusan Kewangan Kerajaan.
Beliau berkata peraturan kewangan kerajaan menetapkan sebarang perbelanjaan perlu dibuat dalam had peruntukan diluluskan dan tidak boleh digunakan sesuka hati.
Menurutnya, sekiranya berlaku perbelanjaan tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara itu tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan.
Katanya, sistem kewangan kerajaan juga tidak membenarkan sesuatu projek atau program dibelanjakan tanpa perincian serta peruntukan diluluskan terlebih dahulu.