4 SEPT : Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Muktamar PAS ke-72, hari ini.
Asyraf melalui kenyataan di Facebook menzahirkan harapan agar permuafakatan kedua-dua parti itu terus diperkukuh.
“Semoga permuafakatan antara dua parti Melayu terbesar UMNO dan PAS ini terus diperkukuh dan memberi manfaat yang besar dalam memperjuangkan agama, membela kepentingan bangsa serta memastikan masa depan negara terus terpelihara,” katanya.
Sementara, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya menghargai kehadiran wakil UMNO itu ke majlis tahunan tersebut.
“Datuk Asyraf selaku Setiausaha Agung UMNO hadir mewakili Presiden UMNO yang tak dapat hadir di saat akhir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Kehadiran wakil UMNO hari ini detik bersejarah baharu dalam landskap politik negara yang dizahirkan dalam usaha menjayakan gagasan besar penyatuan ummah. Terima kasih pimpinan UMNO dan delegasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar PAS ke-72 yang berlangsung di di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengetuai 25 anggota Pemuda UMNO menghadiri Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad bersama ahli jawatankuasanya menghadiri Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS.
Kehadiran pimpinan UMNO pada Muktamar PAS kali ini merupakan kali kedua selepas muktamar di Pahang pada 2019.