4 SEPT : Daerah Serian di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi mencecah 519, tengah hari ini.
Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), bacaan IPU di Kuching, Sarawak turut berada pada tahap bahaya iaitu 310.
Dua lagi kawasan di negeri itu merekodkan data IPU sangat tidak sihat iaitu Samarahan pada kadar 281 dan Sri Aman dengan bacaan 236.
Sementara enam lagi stesen lain di Sarawak mencatat bacaan IPU tidak sihat Sarikei (182), Sibu (180), Mukah (177) Bintulu (157), Samalaju (136) dan ILP Miri (112).
Di Sabah, dua stesen turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Politeknik Kota Kinabalu (149) dan Sandakan (144).
Bagi Johor pula, dua kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat di Pasir Gudang (116) dan Segamat (112).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
Dalam pada itu 41 stesen di seluruh negara merekodkan bacaan sederhana dan hanya 12 kawasan mencatatkan bacaan IPU yang sihat.
*Foto : MOFMA