7 SEPT : Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan itu ketika berucap pada majlis minum pagi dan sesi ramah mesra bersama penduduk Kampung Bertam Ulu, hari ini.
“Tak lama lagi. Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, dah tinggal dua kali Jumaat saja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Sungai Udang, hari ini.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka mengesahkan rundingan dengan beberapa gabungan parti sedang berlangsung bagi membentuk persefahaman politik menghadapi PRN.
Bagaimanapun, katanya, keputusan itu masih dalam pertimbangan kerana perlu memastikan sebarang kerjasama politik memberi kelebihan kepada BN.
Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu, keputusan yang bakal diambil kelak tidak bersandarkan atas dasar kawan.
“Melaka ini ibarat anak dara cantik, ramai nak masuk meminang. Saya jadi bapa susah nak tunggu semua orang datang tanya bila.
“Demi perjuangan, saya tidak akan buat keputusan atas sifat kawan. Saya akan membuat keputusan atas sifat politik demi perjuangan membela dan membina semula parti kita yang sudah pun dipijak dan dihina selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kepentingan rakyat negeri itu terus menjadi keutamaan pentadbirannya.
“Kita bersama bangkit semula, kita diberikan mandat untuk menguruskan rakyat dan saya uruskan rakyat dengan baik. Saya boleh sahaja duduk bermewah-mewah, saya boleh tidur dan bangun tengah hari, saya tak perlu jumpa rakyat. Tetapi tidak, demi rakyat untuk rakyat, biar saya panas dan basah bersama rakyat dan demi rakyat Melaka, saya perjuangkan segalanya.
“Tidak lama lagi hari jadi kita semua, hari jadi untuk kita tentukan siapa yang kita nak wakilkan untuk membela kita. Jangan fikir panjang dan jangan fikir pendek, kita fikir satu sahaja iaitu kita ‘geng’ biru,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pengumuman pembubaran DUN Melaka dipercepatkan.
Menurut Ahmad Zahid, PRN membuka ruang untuk pengundi menentukan hala tuju dan masa depan negeri itu.
