KENYATAAN MEDIA
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)
Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 pada hari ini bagi meneruskan proses penelitian Parlimen terhadap RUU tersebut.
Jawatankuasa telah meneliti pelbagai pandangan dan maklum balas pihak berkepentingan bagi memastikan isu-isu utama berkaitan kerangka RUU dipertimbangkan secara menyeluruh sebelum syor dan pandangan Jawatankuasa dimuktamadkan.
Dalam mesyuarat ini, Jawatankuasa telah mendengar pandangan dan pembentangan YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dari perspektif Perlembagaan dan perundangan serta meneliti maklum balas tambahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat terdahulu.
Seiring dengan usaha Kerajaan MADANI untuk menggubal undang- undang yang berkesan dan bermanfaat, Jawatankuasa turut bersetuju untuk mengadakan sesi ‘National Townhall pada 28 September 2026 bagi memperluas penyertaan pihak berkepentingan dan masyarakat awam dalam proses penelitian RUU ini. Ini kerana ia merupakan antara reformasi penting yang memerlukan penelitian mendalam dan seimbang bagi memastikan kerangka yang diwujudkan dapat dilaksanakan secara berkesan dan bertanggungjawab, dengan mengambil kira kepentingan awam serta pertimbangan perundangan yang berkaitan.
Selain itu, dalam sesi yang berasingan, saya juga telah mempengerusikan Mesyuarat Ketiga JKPK Parlimen Mengenai RUU.
Bidang Kuasa Admiralti 2026 yang telah meneliti maklum balas AGC terhadap pandangan pelbagai pemegang taruh, termasuk Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Majlis Peguam Malaysia. Jawatankuasa turut meneliti hasil perbincangan antara BHEUU, JPM, Kementerian Pengangkutan (MOT), AGC dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) bagi mencapai titik tengah terhadap beberapa perkara yang dibangkitkan sebelum Penyata JKPK ini dimuktamadkan.
Mesyuarat hari ini telah dihadiri oleh Ahli-ahli bagi kedua-dua Jawatankuasa: JKPK RUU Kebebasan Maklumat: Yang Berhormat Selayang, Kuala Pilah, Bangi, Puchong, Lubok Antu, Kota Belud dan Pasir Mas (tidak hadir dengan maaf: Yang Berhormat Shah Alam, Tasek Gelugor, Alor Setar dan Machang); JKPK RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026: Yang Berhormat Tebrau, Simpang Renggam, Stampin, Lumut, Padang Rengas dan Jerantut (tidak hadir dengan maaf: Yang Berhormat Ipoh Barat, Limbang, Sipitang, Pulai, Kuala Terengganu).
Kerajaan MADANI kekal komited merealisasikan agenda reformasi institusi dengan memperkukuh keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran negara. Reformasi yang bermakna perlu dilaksanakan secara inklusif dan teliti, berasaskan pandangan pelbagai pihak bagi memastikan undang-undang yang dibentuk kukuh, praktikal dan mampan untuk jangka panjang.
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)