11 SEPT : Kerajaan bersetuju secara prinsip untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua negeri dalam Dewan Rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diluluskan dalam mesyuarat jemaah menteri, Rabu lalu.
Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah dimaklumkan bagi berunding berkait jumlah kerusi juga mekanisme pelaksanaannya.
“Jemaah menteri sudah bersetuju dan meluluskan secara prinsip penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.
“Yang penting, penambahan itu mesti membawa kepada peningkatan nisbah perwakilan kedua-dua negeri berbanding sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, Sabah mempunyai 25 kerusi manakala Sarawak 31 kerusi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, mekanisme pelaksanaan tersebut perlu dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk parti politik dan kerajaan negeri.
“Pada 1963, dengan penyertaan Singapura, nisbah perwakilannya adalah satu pertiga. Prinsip yang kita persetujui sekarang ialah mesti ada penambahan yang turut meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak.
“Butiran serta mekanisme pelaksanaannya perlu dibincangkan bersama SPR, kerajaan negeri dan parti politik berkaitan,” katanya.
Namun, Anwar menegaskan beliau tidak dapat menjamin pelaksanaannya dapat dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berikutan ia melibatkan Perlembagaan Persekutuan.
“Kabinet sudah membuat keputusan dan saya sudah memaklumkannya kepada SPR. Mereka akan memulakan rundingan, tetapi saya tidak pasti sama ada sempat dilaksanakan sebelum pilihan raya akan datang kerana kita perlu mematuhi proses Perlembagaan,” katanya.
