11 SEPT : PKR perlu terus memainkan peranan dalam memperkukuh pentadbiran di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu selepas pertemuan singkat dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, semalam.
“Saya tegaskan bahawa PKR harus terus memainkan peranan dalam memperkukuh pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Negeri, selain memastikan setiap dasar dan ikhtiar yang digerakkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, malam tadi.
Menurut Anwar, mereka bertukar pandangan serta membincangkan beberapa isu semasa, khususnya berkaitan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah dalam pertemuan itu.
Beliau pada masa sama mahu PKR bergerak dengan kekuatan seluruh anggota, merapatkan saf dan merangkul sokongan semua lapisan masyarakat supaya parti itu kekal dekat dengan denyut nadi dan aspirasi rakyat.
“Pada masa sama, persiapan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang mesti diperkemas dari sekarang dengan kesatuan dan tekad yang jelas.
“Insya-Allah, PKR Sabah akan terus menjadi kekuatan yang membawa suara rakyat serta menjayakan agenda perubahan dan reformasi,” katanya.