20 SEPT: Seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 17 September lalu ditemukan maut bersama seorang kenalan lelaki dalam sebuah kereta di Taman Inang Sari, Durian Tunggal, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata laporan diterima daripada orang awam kira-kira jam 12 tengah malam berkait sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat dua individu iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dan lelaki berusia 33 tahun di dalam kenderaan berkenaan.
“Keadaan fizikal mayat dalam keadaan kembung dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata, sebelum penemuan itu, ibu wanita berkenaan membuat laporan polis pada 17 September lalu selepas anaknya tidak pulang ke rumah.
Katanya, wanita berstatus bujang itu kali terakhir dilihat menaiki sebuah kereta berwarna hitam.
“Belum sempat siasatan kehilangan orang itu dijalankan, polis menerima maklumat berhubung penemuan kenderaan yang dipercayai dinaiki mangsa.
“Polis kemudian mengenal pasti wanita terbabit sebagai individu yang dilaporkan hilang,” katanya.
Ahmad berkata, pemeriksaan awal di lokasi tidak menemukan sebarang kesan samun atau pergaduhan.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut dan bedah siasat.