21 SEPT : Kemelut di Negeri Sembilan nampaknya masih belum reda apabila perkembangan terbaru menyaksikan empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kehilangan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas mendapati kesemua exco berkenaan memungkiri sumpah jawatan yang dilafazkan sebelum ini.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, malam tadi, pembatalan pelantikan itu dibuat selepas tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu didapati bercanggah dengan sumpah yang dilafazkan ketika mengangkat jawatan.
Perkembangan itu berlaku kira-kira sebulan selepas kesemua exco mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
Dalam ikrar berkenaan, mereka berjanji untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Institusi Diraja selain bersumpah melindungi serta memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan.
“Mereka sudah berikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia dan kepada Institusi Diraja, bersumpah melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Mereka memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September. Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia telah menarik balik perkenan baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta.
“Setiap individu berkenaan telah dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut melalui warkah,” katanya dalam kenyataan itu.
Azizi berkata, keputusan berkenaan dibuat selaras dengan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memperuntukkan seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Susulan pembatalan pelantikan itu, Menteri Besarnya, Datuk Ismail Lasim perlu mempersembahkan senarai calon Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada masa sama, Tuanku Muhriz mahu urusan pentadbiran negeri diteruskan tanpa gangguan dengan kepentingan rakyat terus diberi perhatian.
“Tuanku Muhriz menjangkakan Menteri Besar memastikan pentadbiran Negeri Sembilan diteruskan tanpa apa jua gangguan dan halangan menurut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan supaya kepentingan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.

Exco Negeri Sembilan yang dilantik bulan lalu ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah), Datuk Mustapha Nagoor (Pembangunan Belia dan Sukan); Datuk Zaifulbahri Idris (Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan) serta Siow Kong Choon (Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam).
Selain itu, enam lagi Exco yang dilantik pada Ogos lalu ialah Siti Nur Umaira Hasim (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Mohd Asna Amin (Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital); Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup); Suhaimizan Bizar (Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO); Mohd Fairuz Mohd Isa (Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) serta Datuk Razali Abu Samah (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).