28 SEPT : Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Presint 20 hari ini mengiringi perjalanan akhir Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Jenazah isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, kira-kira jam 6.38 petang mengikut Istiadat Pengebumian Bertaraf Pembesar Negara.
Dr Mahathir tidak dapat menahan sebak ketika mengiringi jenazah isterinya dilihat ditenangkan ahli keluarga.
Istiadat Mengusung Jenazah Taraf Persekutuan diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat, bersama lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bacaan doa dan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.
Selepas jenazah disemadikan, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang daripada pihak kerajaan kepada wakil keluarga sebagai tanda penghormatan negara buat Allahyarhamah.
Istiadat itu disempurnakan Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd Shukor Mahmood.
Allahyarham meninggal dunia jam 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) dan jenazahnya dibawa ke kediaman keluarga di Mines Resort City, Seri Kembangan sebelum dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk pengurusan jenazah.
Allahyarham merupakan tokoh perubatan yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya dalam bidang kesihatan ibu dan anak.
Anak jati Kampung Jawa, Klang, Selangor itu mencipta sejarah pada 1965 apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak.
Sembilan tahun kemudian, beliau sekali lagi mencatat sejarah apabila dilantik sebagai wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Kedah pada 1974.
Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Dr Mahathir pada 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Platform media sosial hari ini dibanjiri ucapan takziah dan perkongsian kenangan bersama Allahyarham termasuk dalam kalangan pemimpin dan orang ramai.
