13 NOV : PAS menolak sebarang usaha menukar kerajaan menerusi jalan belakang, sebaliknya mahu proses demokrasi dan rundingan menjadi keutamaan dalam menentukan kepimpinan negara.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan damai perlu diutamakan selaras dengan tuntutan Islam yang mendahulukan perdamaian berbanding konflik.
“Tak ada tebuk atap, kita memilih proses demokrasi kerana Islam mendahulukan pendamaian. Pendamaian didahulukan.
“Perang ini darurat, pendamaian diutamakan, berunding adalah kedamaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Kampung Paya Rumput, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka merangkap calon DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin dan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Zulkifli Ismail.
Abdul Hadi mengulas kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan kerajaan sebelum tamat penggal, susulan pendirian BN yang sebelum ini menolak pendekatan ‘tebuk atap’.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menegaskan tidak akan menebuk atap untuk menukar kerajaan dan terbaharu beliau berpendapat pembubaran Parlimen lebih baik daripada rombakan Kabinet untuk mengambalikan mandat itu kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pembubaran kerajaan bagi memberi laluan kepada pilihan raya juga merupakan mekanisme demokrasi yang perlu dihormati.
“Begitu juga bubar kerajaan, buat pilihan raya ini proses demokrasi…yang kita menghormati proses demokrasi ini kerana Islam mendahulukan cara damai,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah tanggungjawab sebagai pengundi kerana pilihan raya menentukan pihak yang diberi mandat untuk membentuk kerajaan.
Dalam masa sama, Abdul Hadi melahirkan kebimbangan sekiranya pengundi Melayu tidak keluar menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya, selain mengingatkan perpecahan boleh melemahkan kekuatan politik kaum itu.
“Mengundi ini untuk memilih kerajaan…apa yang kita bimbang, orang Melayu tak keluar mengundi,” katanya.
