1 OKT : Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tampil memberi penjelasan berhubung video tular yang didakwa menunjukkan beliau berkasar terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika beliau bersama pegawai AKPS dan dibantu Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) menjalankan penguatkuasaan terhad terhadap sindiket ‘ulat’ warga asing di tingkat ketibaan KLIA.
Katanya, tindakan itu dibuat susulan aduan serta dakwaan kegiatan sindiket berkenaan yang semakin ketara, selain peningkatan kes cubaan menyeludup barangan terlarang termasuk dadah ke Eropah melalui pemeriksaan bagasi.
“Kebetulan pada masa dan saat itu, apa yang kami terima (aduan), berlaku di depan mata kami. Di situ, kita menahan seorang sindiket ulat warga asing dan kemudian kita bawa ke dalam bilik pemeriksaan bagasi kepunyaan AVSEC,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, penguatkuasaan berkenaan hanya membabitkan pegawai AKPS dan AVSEC, justeru bilik pemeriksaan berkenaan sepatutnya hanya menempatkan anggota daripada kedua-dua agensi itu.
Bagaimanapun, katanya, dua individu muncul ketika beliau sedang menemubual warga asing berkenaan dan merakam kejadian itu.
“Apabila didekati pegawai saya dan membawa mereka ke depan dan melihat apa yang dirakam… arahan diberikan untuk memadam. Seperti yang tuan-tuan lihat dalam klip video tersebut, saya memberikan amaran yang setegas-tegasnya,” katanya.
Beliau berkata, laporan polis kemudian dibuat terhadap dirinya sehari selepas kejadian sebelum satu lagi laporan dibuat pada jam 5 pagi, 30 September lalu.
Susulan itu, katanya, beliau dan pasukannya turut membuat laporan polis bagi memaklumkan wujud kemungkinan usaha untuk mencemar nama serta imej AKPS, termasuk dirinya.
“Saya sering kata, saya tidak sempurna, hari ini saya berdiri di sini bersedia menanggung akibat,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata, beliau turut sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak tertinggi kerajaan dan kementerian serta bersedia menerima apa juga keputusan yang dibuat.
“Pada saya untuk mengubah sesuatu, ia mempunyai harga dan sekiranya harga itu adalah diri saya maka saya bayar dengan diri saya.
“Apa pun saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat lanjut dengan penuh cekap. Biarlah keadilan akan muncul kelak untuk semua pihak,” katanya.
Dalam klip video yang tular di media sosial ketika ini, kelihatan dua lelaki mengeluarkan telefon bimbit dipercayai untuk merakam sebelum dipanggil pegawai dan diambil peranti tersebut untuk diperiksa.
Dua individu tersebut kemudiannya didekati Shuhaily yang dilihat berinteraksi dengan tegas.
