6 OKT : Sebuah jet peribadi berlepas dari Lapangan Terbang Subang ditahan selepas dua jam mendarat di Laos dengan penemuan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine.
Namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan jet itu berlepas dari Subang tanpa membawa sebarang kargo.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata 23 beg berisi 521 kg dadah itu diangkut masuk ke dalam jet tersebut selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Beliau berkata, 500 bungkusan dadah itu dipercayai bukan untuk pasaran Malaysia, sebaliknya mahu dihantar ke Manila, Filipina.
Jelasnya, penerbangan berkenaan pada asalnya membawa tiga individu dari Subang ke Luang Prabang melibatkan seorang juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan penumpang warga Filipina.
“Pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang tanpa sebarang kargo. Dadah berkenaan hanya dimuatkan ke dalam pesawat setibanya di Laos dan dipercayai untuk dihantar ke Manila.
“Pemeriksaan terhadap beg terbabit membongkar penemuan 500 bungkusan mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 521kg,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Polis Laos menahan 13 individu untuk membantu siasatantermasuk tiga pekerja syarikat pengendalian darat serta tujuh kakitangan lapangan terbang negara itu yang bertanggungjawab mengendalikan mesin pengimbas X-ray.
Sebelum ni, media melaporkan Polis Laos merampas 521kg dadah jenis crystal methamphetamine dalam sebuah jet peribadi dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Sementara itu, Vientiane Times memetik Lao Security Newspaper melaporkan polis Laos menerima maklumat pada 21 September lalu mengenai sindiket yang dipercayai merancang menyeludup dadah merentasi sempadan menggunakan pesawat peribadi.
PDRM kini membuka kertas siasatan dan akan menghantar beberapa pegawai JSJN ke Laos bagi menjalankan sesi temu bual serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai sindiket berkenaan, termasuk kemungkinan kaitannya dengan rangkaian di Malaysia.
