Belanjawan 2027: Lebih 9,000 doktor kontrak ditawar jawatan tetap
9 OKT : Isu doktor kontrak dalam sektor kesihatan awam bakal dinoktahkan apabila kerajaan menawarkan lebih 9,000 jawatan tetap kepada doktor kontrak pada 2027, sekali gus membuka laluan kerjaya lebih terjamin kepada pegawai perubatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu meneruskan usaha kerajaan melantik doktor kontrak secara tetap sejak 2023, dengan lebih 15,000 pelantikan direkodkan setakat ini termasuk 4,000 pada tahun ini.
“Bermakna, selepas ini, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap pegawai perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut meningkatkan kebajikan petugas kesihatan dengan menaikkan kadar Bayaran Insentif Pos Basik bagi 47,000 anggota paramedik dan jururawat daripada RM100 kepada RM200 sebulan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100 bagi menghargai petugas yang menjalankan perkhidmatan berkenaan.
Beliau turut menyampaikan rasa dukacita atas tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang yang meragut nyawa petugas barisan hadapan.
Bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit mendapatkan rawatan, peruntukan untuk menyumber luar pesakit ke hospital lain ditingkatkan kepada RM200 juta.
Kerajaan turut menyediakan RM1.2 bilion bagi penyelenggaraan dan kerja pembaikan prasarana hospital serta klinik awam, termasuk menaik taraf klinik daif yang masih berbaki.
Selain itu, sembilan fasiliti kesihatan baharu akan dibina, antaranya Kompleks Klinik Pakar dan Pusat Rawatan Harian di Hospital Sultanah Aminah, Johor; Pusat Pakar Pergigian di Kuching, Sarawak; Kompleks Kesihatan Bersepadu di Gerik, Perak; dan Kompleks Kesihatan Bersepadu Rembau, Negeri Sembilan.
Bagi mempercepat proses diagnosis dan rawatan, lebih RM770 juta turut diperuntukkan untuk memperoleh peralatan perubatan canggih dan moden.
Antara kemudahan yang akan dipertingkatkan ialah perkhidmatan hemodialisis di hospital seluruh negara serta perolehan 400 ambulans baharu untuk hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempercepat tindak balas kecemasan.
Sementara itu, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) akan dilengkapi teknologi pembedahan robotik bagi memperluas akses rawatan kepada pesakit di Pantai Timur dan utara Semenanjung.
Sebanyak 18 Institut Latihan KKM turut menerima peralatan simulasi klinikal dan makmal sains asas bagi meningkatkan kemahiran lebih 20,000 pelatih, petugas perubatan serta paramedik.
