Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di atas pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Parlimen, hari ini.
Dengan mengangkat tema ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 telah menyediakan peruntukan berjumlah RM459.8 bilion, iaitu RM376.8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi (OE) dan RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (DE) berpandukan kepada 8 Lunas Utama yang digariskan.
la merupakan sebuah naskhah komprehensif mencakupi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan batas umur yang menterjemahkan semangat kebersamaan dan progresif. Belanjawan ini juga menzahirkan aspirasi Malaysia MADANI yang mengimbangi antara pembangunan negara serta kemampanan ekonomi dan daya tahan fiskal.
Meneliti setiap strategi dan cadangan yang dibentangkan, antaranya peningkatan gaji minimum kepada RM2,000; pelbagai galakan dan pengecualian cukai; penyediaan Subsidi, Bantuan dan Insentif sebanyak RM80 bilion; serta Bantuan Khas Kewangan RM1,500 kepada penjawat awam dan RM750 kepada pesara adalah satu bentuk penghargaan Kerajaan buat rakyat dan penjawat awam dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan sentiasa terbela.
Saya percaya, segala angka dan nilai peningkatan peruntukan merupakan sebuah keazaman dan tekad Kerajaan MADANI untuk meletakkan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Bagi seluruh anggota perkhidmatan awam, saya yakin kita semua sentiasa bersiap sedia menggalas segala amanah dan tanggungjawab ini sebagai Waad Nasional dan terus menyokong dasar-dasar Kerajaan dengan pelaksanaan yang pantas dan berkesan demi memastikan impak limpahan ekonomi yang luar biasa dapat dirasai secara bersama.
TAN SRI SHAMSUL AZRI ABU BAKAR
KETUA SETIAUSAHA NEGARA