14 OKT : Pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka menjana penjimatan fiskal antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung pada harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen berkata, penjimatan itu terhasil daripada pengurangan ketirisan subsidi kepada pihak tidak layak, bukannya melalui pengurangan perlindungan kepada rakyat.
Menurut kementerian itu, ruang fiskal yang terhasil membolehkan kerajaan memperkukuh pelbagai program bantuan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain inisiatif sosial lain yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Dari segi penyertaan, hampir 14 juta daripada lebih 16.5 juta individu yang layak, bersamaan kira-kira 85 peratus, telah menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter setakat 30 September 2026.
Kementerian itu berkata, pelaksanaan BUDI95 terus menunjukkan petunjuk positif dari segi ketepatan penyasaran subsidi, pengurangan ketirisan dan perlindungan kuasa beli rakyat.
Menerusi mekanisme pengesahan MyKad yang dihubungkan dengan pangkalan data berpusat, subsidi disasarkan kepada rakyat Malaysia yang layak, sekali gus mengurangkan manfaat kepada pihak tidak layak seperti bukan warganegara.
Kerajaan turut mengambil kira keperluan kumpulan yang menggunakan bahan api dalam jumlah lebih tinggi, termasuk pemandu e-hailing yang layak menerima kuota tambahan sehingga 800 liter sebulan.
Kelayakan tambahan itu ditentukan berdasarkan jarak perjalanan sebenar yang disahkan melalui data pengendali e-hailing.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 berdasarkan data penggunaan sebenar, harga pasaran tenaga global, kedudukan fiskal negara dan maklum balas rakyat bagi memastikan subsidi disalurkan secara adil, bersasar dan mampan.
MoF menjawab persoalan dibangkitkan Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok) yang meminta kementerian menjelaskan penilaian terkini terhadap keberkesanan BUDI95, jumlah penjimatan fiskal yang dicapai serta asas penetapan dan pelarasan kuota penggunaan bulanan.