13 OKT : Perkahwinan warga asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu tidak mengubah keturunan asal individu berkenaan, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga tidak membuat penentuan keturunan terhadap warga asing berkenaan, yang kekal dengan keturunan asal mereka.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkahwinan antara warganegara asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu tidak mengubah keturunan warganegara asing tersebut kepada keturunan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penegasan itu dibuat susulan laporan media yang menurut beliau menggunakan tajuk sehingga berpotensi menimbulkan salah faham dan memberikan gambaran mengelirukan kepada orang ramai.
“Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas dalam jawapan bertulis saya di Dewan Rakyat semalam.
“Namun, terdapat segelintir laporan yang menggunakan tajuk sehingga boleh menimbulkan salah faham dan memberikan gambaran yang mengelirukan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkongsi salinan soalan dan jawapan penuh berkenaan untuk rujukan orang ramai, selain mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan tajuk berita.
Pada masa sama, Saifuddin menyeru orang ramai supaya menyemak fakta, memahami konteks sebenar dan berkongsi maklumat yang tepat bagi mengelakkan penyebaran maklumat mengelirukan.
