14 OKT : Adat tidak boleh dipertahankan dengan melanggar aturan yang menjadi asasnya, titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Baginda bertitah, tindakan pihak tertentu sejak beberapa bulan kebelakangan ini yang mempertikaikan aturan warisan atas alasan mempertahankan adat boleh menjejaskan kewibawaan institusi adat dan istana, selain menggugat kestabilan negeri.
“Ia juga boleh menggugat kestabilan negeri serta menghakis kepercayaan rakyat. Sebarang pertikaian berkaitan kedudukan atau pewarisan takhta mestilah diselesaikan berdasarkan adat dan undang-undang yang berkenaan, bukannya mengikut kepentingan atau kehendak peribadi,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Tuanku Muhriz bertitah, Adat Perpatih dan peruntukan undang-undang menjadi asas kedudukan serta pewarisan takhta di Negeri Sembilan, justeru itu, sistem adat perlu terus diperkukuh tanpa mengetepikan prinsip dan aturan yang diwarisi turun-temurun.
Baginda turut mengingatkan bahawa kewibawaan institusi raja bergantung pada penghormatan terhadap adat, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
“Bak kata pepatah Melayu, ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. Keadilan dan integriti hendaklah sentiasa menjadi asas kepimpinan.
“Jadikanlah sejarah sebagai pedoman dan iktibar. Janganlah kepentingan diri mengatasi kebenaran dan keadilan sehingga keselamatan, kesejahteraan serta warisan yang dipelihara turun-temurun menjadi korban,” titah baginda.
Dalam istiadat sama, Tuanku Muhriz berkenan menzahirkan Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 yang membawa gelaran Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman.
Azrin, 51 yang merupakan pengurus kanan sebuah syarikat telekomunikasi, menggantikan Datuk Maarof Mat Rashad yang diumumkan terlucut daripada kedudukannya mengikut adat dan tradisi Luak Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023.
Tuanku Muhriz bertitah, penzahiran itu menandakan kesinambungan kepimpinan adat serta kelangsungan warisan yang sekian lama menjadi pegangan masyarakat di Luak Jelebu.
Baginda turut mengingatkan Azrin supaya mengutamakan keharmonian adat dan kesejahteraan anak buah, selain menyelesaikan sebarang perselisihan secara adil, matang dan berhemah.
“Dalam menjalankan tugas, Orang Kaya Beta hendaklah berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta ketetapan dan peraturan adat yang berkuat kuasa di Jelebu,” titah baginda.
Istiadat berkenaan turut disaksikan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Putera Yang Empat, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

*Foto : Jabatan Penerangan Malaysia