14 OKT : Tidak berhasrat berpindah ke kawasan lain, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Bagaimanapun, Khaidhirah atau lebih dikenali dengan nama Dira menyerahkan keputusan pencalonan kepada pucuk pimpinan parti dan bersedia menerima sebarang ketetapan berhubung kedudukannya pada pilihan raya kali ini.
“Saya tidak berhajat untuk berpindah ke mana-mana kawasan, melainkan jika ada arahan berbeza daripada pucuk pimpinan. Saya lebih suka mempertahankan kerusi DUN Rim,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Teori Asas Pembuatan Beg Paku di Dewan Yayasan Belia Sedunia (WYF), hari ini.
Menurutnya, hasrat untuk terus mewakili DUN Rim turut didorong faktor kediamannya yang terletak di kawasan berkenaan, selain komitmen menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Katanya, sejak DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu, beliau memperuntukkan sebahagian besar masanya untuk berada di kawasan bagi memastikan persiapan dapat dilakukan sekiranya berlaku sebarang keadaan tidak dijangka, termasuk berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Saya memang menetap dalam kawasan. Rumah saya sendiri di Rim dan setiap hari saya berulang-alik ke Melaka untuk bekerja.
“Sejak pembubaran, hampir 85 peratus masa saya dihabiskan dalam kawasan. Cuaca pun tidak berapa baik sekarang, jadi saya lebih selesa berada di kawasan sendiri supaya sekiranya berlaku apa-apa, kita sudah bersedia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui belum menerima sebarang keputusan rasmi daripada pucuk pimpinan mengenai pencalonannya pada PRN kali ini.
Dira berkata, beliau tidak akan mendahului keputusan parti dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kepimpinan untuk menentukan calon yang bakal bertanding.
Pada PRN Melaka 2021, beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Rim dengan majoriti 1,327 undi apabila mendapat 4,037 undi.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Azalina Abdul Rahman dan calon Pakatan Harapan (PH), Prasanth Kumar Brakasam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon PRN Melaka ke-16, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.